Monday, April 8, 2013

Bersugi

Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang satu ini...iaitu bersugi. Beberapa tahun dulu, saya diperkenalkan dengan kayu sugi dan cara menggunakannya tapi waktu itu hati masih berat untuk bersugi. Memang saya akui, bilamana kita ingin mengamalkan satu-satu sunnah itu, pasti ada yang mengganggu. Syaitan sentiasa memberatkan hati kita agar tidak mengamalkannya sebab mengamalkan sunnah ini ada kaitan dengan iman kita. Salah satu Rukun Iman ialah beriman kepada Rasullullah, jadi sudah pasti ganjaran melaksanakan apa-apa yang Nabi Muhammad SAW buat itu sangat besar dan yang paling penting, iman kita semakin meningkat, hatta bersugi. Itu yang syaitan tidak suka. Jadi, perlindungan daripada Allah Taala sangat-sangat kita perlukan. Setiap satu sunnah Nabi Muhammad SAW itu ada kejayaan. Sebagai manusia biasa, terlalu banyak yang kita tidak tahu yang Nabi Muhammad SAW tahu. Nabi Muhammad SAW adalah insan terpilih, jadi kita mesti benar-benar yakin bahawa segala perbuatan, perkataan dan cara hidup baginda adalah yang terbaik untuk kita contohi, untuk kita ikut.
Saya tahu bahawa bersugi itu banyak kelebihannya sehinggalah beberapa minggu lepas, saya menyedari yang penglihatan saya semakin merosot. Saya memang rabun jauh sejak zaman belajar dulu tapi saya rasa ia semakin teruk apabila benda jauh yang saya lihat berbalam-balam, macam berpinar-pinar. Sakit kepala dan mata apabila saya cuba untuk fokuskan penglihatan. Tiba-tiba saya teringat salah satu kelebihan bersugi ialah menajamkan penglihatan. Hati saya berdetik, sudah tiba masanya untuk saya amalkan sunnah ini. Alhamdulillah, setelah dua tiga hari saya bersugi setiap kali hendak bersolat zuhur, asar dan isya', penglihatan saya semakin baik. Apabila lihat sesuatu yang jauh, tidak lagi berbalam-balam. Syukur sangat ke hadrat Ilahi kerana memberi jalan penyelesaian yang terbaik hatta berkaitan dengan mata. Betapa besarnya nikmat mata. Semoga Allah kurniakan saya sifat istiqamah amalkan sunnah ini. Setiap kali membaca Al Quran, saya tidak putus-putus memuji Allah kerana masih memberi nikmat penglihatan kepada saya dan memberi peluang kepada saya untuk melihat dan membaca ayat-ayat suciNya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sekiranya Dia menarik nikmat mata ini. Namun, saya sedar, semua pancaindera kita ini hanya pinjaman dariNya. Dia ada hak untuk mengambil semula bila-bila masa. Sementara Dia masih memberi masa kepada kita menggunakannya, marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang Allah pinjamkan ini mengikut apa yang Dia perintahkan. Jauhilah perkara-perkara yang Dia larang kerana Dia yang mencipta kita, sudah semestinya Dia Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita, apa yang tidak baik untuk kita. Kerana Dia menyayangi kita melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

No comments:

Post a Comment