Tuesday, April 16, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb.3)

Bumi dan Alam
Berkata ahli ilmu biologi: adalah bumi ini asalnya daripada jisim yang terbangsa kepada api atau jenis api dan ia tiada sejuk melainkan setelah beberapa ribu tahun (yang tiada diketahui) setelah itu baharulah ia keras sebelah luar umpama lengkung bersakar kemudian lepas itu beribu-ribu tahun (tiada diketahui juga) baharulah ia sesuai boleh dibuat tempat bercucuk tanam, lepas itu baharulah sesuai pula bagi tempat kehidupan binatang kemudian manusia.

Manusia
Berkata lagi ulama biologi itu, bahawasanya manusia itu mula-mulanya berkeadaan liar. Setelah melalui masa beribu-ribu tahun baharulah mengerti membuat kerja-kerja yang mustahak baginya seperti membuat rumah, pakaian dan makanan kemudian beransur-ansurlah ia sedikit demi sedikit berjinak-jinak dan moden hingga sampai keadaannya bagaimana yang ada pada hari ini.

Bahagian tarikh manusia
Tarikh manusia itu 2 bahagi; tarikh am dan tarikh khas. Maka tarikh am iaitulah tarikh yang menceritakan hal ehwal mausia semua sekali dan tarikh khas iaitu yang membahaskan hal sesuatu bangsa atau sesuatu kaum atau sesuatu kerajaan sahaja.
Adapun masa tarikh itu dibahagi 3 kurun. Yang pertama mulanya daripada masa yang tiada diketahui hingga binasa Kerajaan Rom Barat dan kurun menengah mulanya dari semenjak jatuh Kerajaan Rom Barat hingga runtuh Kerajaan Rom Timur (dari mula bangkit Kerajaan Bani Uthman di Constantinople, Turki) dan kurun yang akhir mulanya dari semenjak terdiri Kerajaan Constantinople itu hingga zaman kita sekarang. Kalimah 'kurun' itu jamak mufradnya 'kharnun'. Makna kharnun ialah masa seratus tahun.
Sebagai penutup pelajaran yang pertama ini adalah tarikh manusia itu tiada dapat diketahui dengan yakin melainkan sebahagian yang kecil jua dan yang dapat diagak dengan bertulis ialah ehwal mausia dalam tempoh 3 ribu tahun sahaja lebih kurang. Adapun yang dahulu daripada itu, waAllahu'alam.

Friday, April 12, 2013

Bersugi (2)

Bagi sesiapa yang belum pernah lihat kayu sugi, di bawah ini adalah contoh kayu sugi dan cara menggunakannya.

Sabda Rasullullah SAW "Solat 2 rakaat dengan bersugi itu lebih  baik daripada solat 70 rakaat tanpa bersugi" Riwayat Saidatina Aishah r.a

Wednesday, April 10, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb. 2)

Ilmu yang membantu Tarikh
Adalah ilmu yang membantu ahli Tarikh pada mendapatkan hakikat Tarikh itu banyak dan yang penting sekali ialah ilmu geografi, ilmu takwim dan ilmu mengenal hal-ehwal bumi (biologi).

Permulaan Tarikh
Dari bila Tarikh itu dimulakan? Jawab soalan ini tiada dapat ditetapkan dengan tepat tetapi biasanya manusia hingga orang-orang kebanyakkan pun selalu mengambil berat dengan kejadian-kejadian yag besar iaitu seolah-olah sudah jadi tabi'at kepada mereka itu menyandarkan sesuatu hal kepada kejadian -kejadian yag besar itu seperti dikatakan " Perkara itu berlaku lepas taufan Nuh, lepas beranak Nabi Isa a.s atau lepas berpindah (hijrah) Nabi Muhammad SAW sekian-sekian tahun, masa perang besar dunia yang pertama, masa Jepun dan sebagainya". Maka kejadian yang besar-besar dipakai jadi permulaan Tarikh itu terlampau banyak tetapi yang biasa digunakan orang 3 kajadian sahaja Permulaan Manusia Jadi, Peranakkan Al Masihi   dan Hijrah Muhammadiah.

Permulaan Manusia Jadi
Bersalah-salahan pendapat ahli Tarikh atas soal permulaan manusia jadi. Setengah orag berpendapat manusia itu sudah ada di atas muka bumi ini selama empat ribu tahun sebelum miladi atau sebelum hijrah. Setengah orang lain berkata enam ribu tahun dan ada pula berkata sudah bermillion-million tahun. Maka jalan menuju kepada yang tepat tiada dapat kerana bahan-bahan untuk mengetahuinya sangat sedikit padahal menyelidik barang lama masih tiada putus tetapi pendapat yang boleh dikatakan sekata di sisi ahli-ahli Tarikh setua-tua umat di atas muka bumi ini ialah orang cina, orang india dan orang mesir dan menurut Tarikh, orang eropah adalah bangsa-bangsa yang tiga ini telah ada di atas muka bumi ini dari semenjak enam atau sepuluh ribu tahun lebih kurang.

Monday, April 8, 2013

Bersugi

Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang satu ini...iaitu bersugi. Beberapa tahun dulu, saya diperkenalkan dengan kayu sugi dan cara menggunakannya tapi waktu itu hati masih berat untuk bersugi. Memang saya akui, bilamana kita ingin mengamalkan satu-satu sunnah itu, pasti ada yang mengganggu. Syaitan sentiasa memberatkan hati kita agar tidak mengamalkannya sebab mengamalkan sunnah ini ada kaitan dengan iman kita. Salah satu Rukun Iman ialah beriman kepada Rasullullah, jadi sudah pasti ganjaran melaksanakan apa-apa yang Nabi Muhammad SAW buat itu sangat besar dan yang paling penting, iman kita semakin meningkat, hatta bersugi. Itu yang syaitan tidak suka. Jadi, perlindungan daripada Allah Taala sangat-sangat kita perlukan. Setiap satu sunnah Nabi Muhammad SAW itu ada kejayaan. Sebagai manusia biasa, terlalu banyak yang kita tidak tahu yang Nabi Muhammad SAW tahu. Nabi Muhammad SAW adalah insan terpilih, jadi kita mesti benar-benar yakin bahawa segala perbuatan, perkataan dan cara hidup baginda adalah yang terbaik untuk kita contohi, untuk kita ikut.
Saya tahu bahawa bersugi itu banyak kelebihannya sehinggalah beberapa minggu lepas, saya menyedari yang penglihatan saya semakin merosot. Saya memang rabun jauh sejak zaman belajar dulu tapi saya rasa ia semakin teruk apabila benda jauh yang saya lihat berbalam-balam, macam berpinar-pinar. Sakit kepala dan mata apabila saya cuba untuk fokuskan penglihatan. Tiba-tiba saya teringat salah satu kelebihan bersugi ialah menajamkan penglihatan. Hati saya berdetik, sudah tiba masanya untuk saya amalkan sunnah ini. Alhamdulillah, setelah dua tiga hari saya bersugi setiap kali hendak bersolat zuhur, asar dan isya', penglihatan saya semakin baik. Apabila lihat sesuatu yang jauh, tidak lagi berbalam-balam. Syukur sangat ke hadrat Ilahi kerana memberi jalan penyelesaian yang terbaik hatta berkaitan dengan mata. Betapa besarnya nikmat mata. Semoga Allah kurniakan saya sifat istiqamah amalkan sunnah ini. Setiap kali membaca Al Quran, saya tidak putus-putus memuji Allah kerana masih memberi nikmat penglihatan kepada saya dan memberi peluang kepada saya untuk melihat dan membaca ayat-ayat suciNya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sekiranya Dia menarik nikmat mata ini. Namun, saya sedar, semua pancaindera kita ini hanya pinjaman dariNya. Dia ada hak untuk mengambil semula bila-bila masa. Sementara Dia masih memberi masa kepada kita menggunakannya, marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang Allah pinjamkan ini mengikut apa yang Dia perintahkan. Jauhilah perkara-perkara yang Dia larang kerana Dia yang mencipta kita, sudah semestinya Dia Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita, apa yang tidak baik untuk kita. Kerana Dia menyayangi kita melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.