Saturday, March 23, 2013

Sifat-sifat Para Sahabat Rasullullah r.a

Assalammualaikum wbt dan  selamat sejahtera kepada para pengunjung. Hari ini, kita keluar tajuk sikit la ye. Saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk melihat sifat-sifat yang ada pada diri sahabat-sahabat Rasullullah sehingga mereka ini terpilih untuk berada di sisi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW di dalam meyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia, sehingga Islam kekal hingga ke hari ini. Mereka ini bukanlah sembarangan orang dan malah ada di antara mereka, Allah SWT telah janjikan syurga kepada mereka sejak di dunia lagi. Subhanallah, alangkah bertuahnya mereka dan alangkah berjayanya mereka menghadapi dugaan dunia yang sementara ini. Merekalah orang-orang yang berjaya. Tidak mahukah kita jadi seperti mereka, berjaya dalam erti kata yang sebenar? Apa yang kita cari dan apakah matlamat hidup kita? Kita cari ketenangan hati dan akhirat adalah matlamat kita. Untuk medapatkannya, kita perlu kembali kepada Pencipta kita, Allah SWT. Kita perlukan cinta dan redha Allah. Rasullullah SAW telah menunjukkan jalan dan cara untuk dapatkan cinta dan redha Allah. Tidak ada jalan dan cara lain. Apakah lagi alasan yang kita ada untuk tidak mengikut sunnah baginda? Para sahabat mengikut sunnah-sunnah baginda dengan rapat sekali, daripada buka mata, bangun tidur sehingga tutup mata, tidur semula. Semua perlakuan baginda ditiru sebaik mungkin. Kerana mereka yakin sepenuh hati bahawa dengan cara itu sahaja yang akan membawa mereka berjaya di dunia dan di akhirat. Dan mereka yakin 100% dengan segala janji-janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang ingkar. Oleh yang demikian, mari lah kita sama-sama muhasabah diri dan buat perubahan dalam kehidupan kita seharian dengan mengikut sunnah-sunnah Rasullullah sepertimana yang dibuat oleh para sahabat baginda, walaupun sedikit dan kita istiqamah melaksanakannya, percayalah, kesan yang akan kita rasai sangat besar dan hikmahnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sifat-sifat para sahabat boleh diringkaskan kepada 6 yang mana ia bukanlah menunjukkan kesempurnaan dalam agama tetapi apabila kita amalkan, ia dapat memudahkan kita untuk mendapatkan kesempurnaan dalam agama.
1. Yakin dengan hakikat kalimah La ila ha illallah, Muhammadur rasullullah
2. Hakikat solat khusyu' dan khudhu'
3. Hakikat ilmu dan zikir
4. Ikram muslimin
5. Ikhlas niat
6. Dakwah fisabilillah

*sudahi dengan tasbih kifarah dan Surah al 'Asr*

Friday, March 22, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb.)

Punca Ilmu Tarikh
Adalah tarikh itu diambil daripada kesan barang-barang dan hal-hal yang berlaku.  Iaitu terbahagi kepada 3 bahagian: pertama kesan yang tetap, kedua kesan yang dinukil, ketiga kesan barang lama.

Maka yang dikatakan kesan yag tetap itu ialah perkara yang tetap terpelihara daripada berubah-ubah umpama surat-surat,buku-buku daftar, buku-buku agama, takwim-takwim, perintah-perintah, undang-undang, pekeliling-pekeliling, perjanjian-perjanjian dan seumpamanya.

Yang dikatakan kesan yang dinukil itu ialah perkara yang didengar dan dipindahkan dari ibu-ibu bapa kepada anak-anak seperti cerita-cerita, pantun-pantun dan seumpamanya. Bahagian ini meskipun terkadang-kadang ada yang melampau-lampau dan ada tokok tambah pada setengah-setengah ketika tetapi yang demikian itu tidak sunyi juga ada mengandugi faedah dan berguna pada orang yag suka menyelidik hal-hal dan menghalusi sesuatu perkara.

Adapun bahagian yang ketiga itu iaitulah kesan barang-barang lama, bekas-bekas negeri (bandar), kota-kota, tembok-tembok, patung-patung berhala, batu-batu nisan,batu-batu berukir, senjata-senjata, pakaian-pakaian, alat perhiasan rumah dan seumpamanya.

Subjek: Tarikh darjah 4

Hari ini saya ingin mula membaca kitab tarikh. Kitab-kitab Sekolah Agama Johor ini 100% bertulisan jawi, jadi disebabkan telah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan telah lama tidak membaca tulisan jawi, mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan saya dalam membacanya. Terdapat beberapa perkataan yang saya kurang pasti untuk menyebutnya. Saya terbuka untuk menerima sebarang teguran yang membina daripada para pembaca untuk sama-sama kita mengambil manfaat darinya, insyaAllah. Selamat membaca.




Pelajaran yang pertama:
Tarikh dan Kaitannya

Pengenalan Tarikh
Perkataan ' Tarikh' itu bahasa arab maknanya di dalam peribahasa menentukan waktu atau menetapkan masa atau menyatakan masa kesudahan sesuatu umpama 'surat saya ada tarikh'. Ertinya surat saya ada ditulis haribulan dan tahunnya. Adapun maksud tarikh disisi istilah iaitu ilmu yang dengan dia diketahui segala hal ehwal ummah dan bangsa-bangsa yang dahulukala dan sekarang.
Ilmu ini sangat berguna pada segenap lapisan masyarakat. Kerana dengan mengetahui hal-hal orang yang dahulu dan segala kejadian yang berlaku, manusia dapat mengambil iktibar pada yang baik jadi tauladan dan pada yang buruk jadi sempadan. Bahkan dengan tarikh lah menjadikan seseorang atau sesuatu bangsa itu bersemangat pada meninggikan agama, bangsa dan tanahairnya.

Thursday, March 14, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2 (samb)

Pengertian wajib pada 'akal
Adalah wajib pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan tiadanya (suatu perkara yang tetap dan mesti ada) misalnya seperti gerak atau diam bagi suatu benda itu tetap ada salah satu daripadanya.

Pengertian mustahil  pada 'akal
Adalah mustahil pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan adanya (suatu perkara yang tetap dan mesti tiada) misalnya seperti gerak dan diam bagi sesuatu benda di dalam satu masa.

Pengertian harus pada 'akal
Adalah harus pada 'akal itu suatu perkara yang boleh diterima 'akal ada atau tiadanya. Misalnya seperti boleh bergerak atau diam bagi suatu benda.

Pengertian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu ialah titah perintah tuhan berkenaan perkara-perkara yang diperbuat oleh orang yang mukallaf samada dengan jalan tuntutan atau hantaran.
1. Tuntutan misalnya seperti firman Allah 'hendaklah kamu megerjakan sembahyang' dan 'jangan kamu menghampiri zina'.
2. hantaran misalnya seperti masuk waktu bagi ibadat yang berwaktu, suci daripada najis dan hadas dan lain-lainnya.

Bahagian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu terbahagi 2:

Bahagian yang pertama termasuk di bawah 'tuntutan' iaitu 5 perkara:
1. wajib iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya dan diseksa meninggalkannya.
2. sunat iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya tetapi tiada diseksa meninggalkannya.
3. haram iaitu perkara-perkara yang diseksa memperbuatnya dan diberi pahala meninggalkannya.
4. makruh iaitu perkara-perkara yang diberi pahala meninggalkannya tetapi tiada diseksa memperbuatnya.
5. mubah (harus) iaitu perkara-perkara yang tiada diberi pahala dan tiada diseksa memperbuatnya atau meninggalkannya.

Bahagian yang kedua termasuk dibawah 'hantaran' iaitu 5 perkara:
1. sebab
2. syarat
3. mani'
4. sah
5. batal

Pengertian Hukum Adat
Yang dikatakan hukum adat itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya, dengan dicuba beberapa kali tetapi boleh menyalahi daripada ketetapannya.
Misalnya seperti api itu telah dicuba beberapa kali didapati boleh menghanguskan sesuatu, maka kuatkuasa api boleh meghanguskan itu ditetapkan oleh hukum adat tetapi ada kalanya api itu tiada boleh meghanguskan sebagaimana yang diketahui adalah Nabi Ibrahim a.s itu tiada hangus tatkala dibakar oleh Namrud.

Bahagian Hukum Adat
Adalah bahagian hukum adat itu 4:
1. menetapkan ada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada kenyang dengan sebab ada makan.
2. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada kenyang dengan sebab tiada makan.
3. menetapkan ada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada sejuk dengan tiada kain.
4. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada sejuk dengan sebab ada kain.

Peringatan:-
Adalah wajib shar'i dan wajib 'aqli itu berlainan pengertian keduanya. Maka tanda yang menunjukkan wajib shar'i itu ialah didatangkan dengan perkataan "atas" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib atas tiap-tiap mukallaf' maksudnya ialah wajib shar'i. Dan tanda menunjukkan wajib 'aqli itu ialah dengan perkataan "bagi" atau "pada" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib bagi Allah' atau 'wajib pada Zat Allah', maksudnya ialah wajib 'aqli.

Kita berhenti dulu untuk subjek tauhid. Next post, kita baca Kitab Tarikh pula. Kitab Tarikh ini cerita mengenai sejarah Islam. Seronok juga baca kitab-kitab lama. Dan bahasa-bahasa lama.

Monday, March 11, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2

Menyatakan Hukum
Adalah pengertian hukum itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menidakkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain. Misal pada menetapkan itu seperti dikatakan " Bahawasanya alam ini baharu" maka baharu itu ditetapkan kepada alam, dari sebab itu tetaplah alam ini baharu. Dan misal menidakkan itu seperti katanya "Alam ini bukan Qadim". Maka qadim itu ditidakkan kepada alam. Dari sebab itu tetaplah alam ini tidak qadim.

Mengetahui Hukum 'Akal
Bahawasanya tiap-tiap seorang yang hendak mengenal Allah dan rasulNya itu wajiblah ia mengetahui lebih dahulu hukum 'akal dan segala bahagiannya kerana ia permulaan wajib mengetahui untuk jalan mengenal Allah, oleh sebab tidak dapat seseorang hendak menghukumkan sesuatu hukum melainkan setelah diketahui lebih dahulu akan pengetian hukum 'akal dan segala bahagiannya. Misalnya seperti dihukumkan wajib bagi Tuhan bersifat Qidam maka tak dapat tidak orang yang menghukumkan wajib itu telah mengerti dan faham makna wajib itu sebelum dihukumkannya kemudian barulah boleh ia menghukumkan dengan wajib Tuhan bersifat Qidam.
Yang demikian jadilah permulaan wajib untuk jalan mengenal tuhan itu ialah mengetahui Hukum 'Akal.

Bahagian Hukum
Adalah hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian:
1. Hukum 'Akal
2. Hukum Shara'
3. Hukum 'Adat
Sebab pun hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian ialah kerana menetapkan tiap-tiap perkara atau menidakkannya itu adakalanya 'akal, adakalanya shara' dan adakalanya 'adat.

Pengertian Hukum 'Akal
Adalah hukum 'akal itu ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya dengan tiada berkehendak kepada percubaan sebagaimana hukum 'adat dan tiada bergantung kepada suatu perbuatan mukallaf sebagaimana hukum shara'.

Adalah hukum 'akal itu 3 bahagian:
1. Wajib
2. Mustahil
3. Harus















Friday, March 8, 2013

Subjek: Tauhid darjah 4

Sebagai permulaan, saya mula dengan membaca Kitab Tauhid darjah 4. Dihadapan kitab ini tertulis juga 'bagi murid-murid sekolah Agama Kerajaan Johor' oleh Jabatan Agama Johor. Baru saya perasan, dalam simpanan saya, hanya ada kitab-kitab sekolah agama darjah 4, 5 dan 6. Kitab-kitab darjah 1, 2 dan 3 tak tahu di mana. Seingat saya, subjek untuk setiap darjah adalah sama cuma bila naik darjah 5, ada penambahan subjek Tasawuf dan bila naik darjah 6, ditambah subjek Muamalat, Munakahat dan Jenayat. Subjek yang sama untuk setiap darjah adalah Tauhid, Ibadat, Tafsir Ayat Al Quran, Tarikh, Adab dan Bahasa Arab kalau tak silap saya. Semuanya bertulisan jawi. Selamat membaca.

Pelajaran yang pertama:
Perkara-perkara yang wajib diketahui oleh Mukallaf

Bahawasanya tiap-tiap seorang mukallaf wajib ia mengetahui asas-asas agama sebagaimana di bawah ini:-
1. Rukun Islam
2. Rukun Iman
3. 'Aqaidul Iman

Oleh sebab kitab ini menepati perkara Tauhid jua dari itu, rukun Islam dan Iman tiada dibahaskan.

Pengertian 'Aqaidul Iman
Adalah 'Aqaidul Iman itu ialah simpulan-simpulan atau ikatan-ikatan iman (kepercayaan seseorang terhadap/kepada Allah dan Rasulnya).

Perkara-perkara yang terkandung dalam 'Aqaidul Iman
Adalah perkara-perkara yang terkandung dalam 'Aqaidul Iman itu:-
1. Sifat-sifat yang wajib bagi Allah, yang mustahil atasNya dan yang harus pada zatNya
2.Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, yang mustahil atasnya dan yang harus pada dirinya
3. Perkara-perkara Sam'iyat (yang didengar dan diketahui daripada Al Quran dan hadis). Misalnya seperti Hari Kiamat, Hisab, Sirat, Syurga, Neraka, 'Arasy, Kursi dan sebagainya.

Wednesday, March 6, 2013

Kitab lama Sekolah Agama Johor

Pagi ini, dengan kesempatan yang ada, dan yang pasti dengan izin Allah SWT, saya ingin berkongsi tentang kitab-kitab lama yang digunakan ketika belajar di Sekolah Agama Johor dulu. Kira-kira 28 tahun dulu. Lama tu. Terasa masa bergerak sangat cepat dan usia semakin bertambah namun baru kini tersedar betapa bernilainya ilmu-ilmu agama yang diajar oleh para guru ketika itu. Masa zaman sekolah dulu, belajar hanya nak lulus periksa, habis periksa dah lupa semula. Bila fikir-fikir,sayangnya. Sekarang ni, untuk dapat peluang duduk dalam majlis ilmu bukan mudah. Bukan tidak ada majlis-majlis seperti itu tapi diri ini yang lemah. Sibuk dengan hal dunia yang tidak berkesudahan. Moga Allah SWT memperluaskan ruang masa untuk saya dan para pembaca blog ini sekalian, untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu yang disebut di dalamnya nama-nama Allah SWT yang Maha Agung dan sabdaan-sabdaan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW. Kerana dalam majlis-majlis ilmu seperti itu, para Malaikat turut hadir dan keberkatan serta rahmat Allah SWT juga turun sama, dengan izinNya.

Berbalik pada kitab-kitab lama Sekolah Agama Johor, yang ada dalam simpanan saya tak banyak dan tak lengkap untuk semua subjek yang diajar. Dan tak cukup untuk semua darjah. Tak tahu di mana hilangnya atau mungkin dah terbuang. Kitab yang adapun, dah kuning dimamah hari. Sikit masa lagi, saya rasa,kitab-kitab ini akan hancur sendiri. Jadi,saya rasa ada baiknya kalau saya kongsikan di sini apa-apa yang saya baca. Sekurang-kurangnya, anak-anak tahu apa yang ibunya belajar ketika zaman sekolah dulu. Perbezaan bahan pembelajaran yang digunakan pada tahun 70-80an dengan sekarang.

Monday, March 4, 2013

Kunjungan anda amat dihargai

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Assalammualaikum wbt buat semua pengunjung blog ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya diberi kekuatan dan kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi daripada pelbagai sumber yang mana diharap dengan ilmu itu, kita dapat sama-sama manfaatkan agar menjadikan kita semakin hampir dengan Pencipta kita, Allah SWT. Semoga usaha kecil ini mendapat keredhaanNya, amin.