Thursday, March 14, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2 (samb)

Pengertian wajib pada 'akal
Adalah wajib pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan tiadanya (suatu perkara yang tetap dan mesti ada) misalnya seperti gerak atau diam bagi suatu benda itu tetap ada salah satu daripadanya.

Pengertian mustahil  pada 'akal
Adalah mustahil pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan adanya (suatu perkara yang tetap dan mesti tiada) misalnya seperti gerak dan diam bagi sesuatu benda di dalam satu masa.

Pengertian harus pada 'akal
Adalah harus pada 'akal itu suatu perkara yang boleh diterima 'akal ada atau tiadanya. Misalnya seperti boleh bergerak atau diam bagi suatu benda.

Pengertian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu ialah titah perintah tuhan berkenaan perkara-perkara yang diperbuat oleh orang yang mukallaf samada dengan jalan tuntutan atau hantaran.
1. Tuntutan misalnya seperti firman Allah 'hendaklah kamu megerjakan sembahyang' dan 'jangan kamu menghampiri zina'.
2. hantaran misalnya seperti masuk waktu bagi ibadat yang berwaktu, suci daripada najis dan hadas dan lain-lainnya.

Bahagian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu terbahagi 2:

Bahagian yang pertama termasuk di bawah 'tuntutan' iaitu 5 perkara:
1. wajib iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya dan diseksa meninggalkannya.
2. sunat iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya tetapi tiada diseksa meninggalkannya.
3. haram iaitu perkara-perkara yang diseksa memperbuatnya dan diberi pahala meninggalkannya.
4. makruh iaitu perkara-perkara yang diberi pahala meninggalkannya tetapi tiada diseksa memperbuatnya.
5. mubah (harus) iaitu perkara-perkara yang tiada diberi pahala dan tiada diseksa memperbuatnya atau meninggalkannya.

Bahagian yang kedua termasuk dibawah 'hantaran' iaitu 5 perkara:
1. sebab
2. syarat
3. mani'
4. sah
5. batal

Pengertian Hukum Adat
Yang dikatakan hukum adat itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya, dengan dicuba beberapa kali tetapi boleh menyalahi daripada ketetapannya.
Misalnya seperti api itu telah dicuba beberapa kali didapati boleh menghanguskan sesuatu, maka kuatkuasa api boleh meghanguskan itu ditetapkan oleh hukum adat tetapi ada kalanya api itu tiada boleh meghanguskan sebagaimana yang diketahui adalah Nabi Ibrahim a.s itu tiada hangus tatkala dibakar oleh Namrud.

Bahagian Hukum Adat
Adalah bahagian hukum adat itu 4:
1. menetapkan ada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada kenyang dengan sebab ada makan.
2. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada kenyang dengan sebab tiada makan.
3. menetapkan ada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada sejuk dengan tiada kain.
4. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada sejuk dengan sebab ada kain.

Peringatan:-
Adalah wajib shar'i dan wajib 'aqli itu berlainan pengertian keduanya. Maka tanda yang menunjukkan wajib shar'i itu ialah didatangkan dengan perkataan "atas" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib atas tiap-tiap mukallaf' maksudnya ialah wajib shar'i. Dan tanda menunjukkan wajib 'aqli itu ialah dengan perkataan "bagi" atau "pada" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib bagi Allah' atau 'wajib pada Zat Allah', maksudnya ialah wajib 'aqli.

Kita berhenti dulu untuk subjek tauhid. Next post, kita baca Kitab Tarikh pula. Kitab Tarikh ini cerita mengenai sejarah Islam. Seronok juga baca kitab-kitab lama. Dan bahasa-bahasa lama.

No comments:

Post a Comment