Monday, March 11, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2

Menyatakan Hukum
Adalah pengertian hukum itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menidakkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain. Misal pada menetapkan itu seperti dikatakan " Bahawasanya alam ini baharu" maka baharu itu ditetapkan kepada alam, dari sebab itu tetaplah alam ini baharu. Dan misal menidakkan itu seperti katanya "Alam ini bukan Qadim". Maka qadim itu ditidakkan kepada alam. Dari sebab itu tetaplah alam ini tidak qadim.

Mengetahui Hukum 'Akal
Bahawasanya tiap-tiap seorang yang hendak mengenal Allah dan rasulNya itu wajiblah ia mengetahui lebih dahulu hukum 'akal dan segala bahagiannya kerana ia permulaan wajib mengetahui untuk jalan mengenal Allah, oleh sebab tidak dapat seseorang hendak menghukumkan sesuatu hukum melainkan setelah diketahui lebih dahulu akan pengetian hukum 'akal dan segala bahagiannya. Misalnya seperti dihukumkan wajib bagi Tuhan bersifat Qidam maka tak dapat tidak orang yang menghukumkan wajib itu telah mengerti dan faham makna wajib itu sebelum dihukumkannya kemudian barulah boleh ia menghukumkan dengan wajib Tuhan bersifat Qidam.
Yang demikian jadilah permulaan wajib untuk jalan mengenal tuhan itu ialah mengetahui Hukum 'Akal.

Bahagian Hukum
Adalah hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian:
1. Hukum 'Akal
2. Hukum Shara'
3. Hukum 'Adat
Sebab pun hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian ialah kerana menetapkan tiap-tiap perkara atau menidakkannya itu adakalanya 'akal, adakalanya shara' dan adakalanya 'adat.

Pengertian Hukum 'Akal
Adalah hukum 'akal itu ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya dengan tiada berkehendak kepada percubaan sebagaimana hukum 'adat dan tiada bergantung kepada suatu perbuatan mukallaf sebagaimana hukum shara'.

Adalah hukum 'akal itu 3 bahagian:
1. Wajib
2. Mustahil
3. Harus















No comments:

Post a Comment