Wednesday, March 6, 2013

Kitab lama Sekolah Agama Johor

Pagi ini, dengan kesempatan yang ada, dan yang pasti dengan izin Allah SWT, saya ingin berkongsi tentang kitab-kitab lama yang digunakan ketika belajar di Sekolah Agama Johor dulu. Kira-kira 28 tahun dulu. Lama tu. Terasa masa bergerak sangat cepat dan usia semakin bertambah namun baru kini tersedar betapa bernilainya ilmu-ilmu agama yang diajar oleh para guru ketika itu. Masa zaman sekolah dulu, belajar hanya nak lulus periksa, habis periksa dah lupa semula. Bila fikir-fikir,sayangnya. Sekarang ni, untuk dapat peluang duduk dalam majlis ilmu bukan mudah. Bukan tidak ada majlis-majlis seperti itu tapi diri ini yang lemah. Sibuk dengan hal dunia yang tidak berkesudahan. Moga Allah SWT memperluaskan ruang masa untuk saya dan para pembaca blog ini sekalian, untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu yang disebut di dalamnya nama-nama Allah SWT yang Maha Agung dan sabdaan-sabdaan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW. Kerana dalam majlis-majlis ilmu seperti itu, para Malaikat turut hadir dan keberkatan serta rahmat Allah SWT juga turun sama, dengan izinNya.

Berbalik pada kitab-kitab lama Sekolah Agama Johor, yang ada dalam simpanan saya tak banyak dan tak lengkap untuk semua subjek yang diajar. Dan tak cukup untuk semua darjah. Tak tahu di mana hilangnya atau mungkin dah terbuang. Kitab yang adapun, dah kuning dimamah hari. Sikit masa lagi, saya rasa,kitab-kitab ini akan hancur sendiri. Jadi,saya rasa ada baiknya kalau saya kongsikan di sini apa-apa yang saya baca. Sekurang-kurangnya, anak-anak tahu apa yang ibunya belajar ketika zaman sekolah dulu. Perbezaan bahan pembelajaran yang digunakan pada tahun 70-80an dengan sekarang.