Monday, November 25, 2013

Selamat datang Jemaah Masturat

Assalammualaikum wbt.
Semoga kita sama-sama sentiasa berada dalam lindungan Allah, insyaAllah. 

Alhamdulillah kerana Allah telah pilih kami sekeluarga sekali lagi utk menerima kedatangan jemaah Masturat. Kalau dulu, yang datang adalah jemaah drpd Penshawar, Pakistan. Kali ini, jemaah tempatan drpd Seremban, Negeri Sembilan. Dari 22 - 24 Nov. 2013. Minggu lepas, sebenarnya...hihi....tajuk kat atas tu, memang konfius sikit.....tp sebenarnya, itu adalah doa dan azam kami, moga-moga Allah pilih lagi dan lagi utk terima jemaah-jemaah lain di masa akan dtg. Amin.  

Buat masa skrg, saya hanya mampu sediakan rumah dan terima jemaah dtg. namun saya berdoa agar keinginan dan semangat utk membantu agama Allah dan melihat agama Islam terus berkembang serta menjadi cara hidup setiap individu dan keluarga terus kukuh dan utuh di hati ini.

Semoga hidayah Allah tersebar seluruh alam dan kita semua terselamat drpd bakaran api neraka. Marilah kita sama-sama berusaha utk tingkatkan iman kita dan sama-sama menjadi kalangan orang-orang yang menyebarkan dan membantu agama Allah, agama Islam.
Wasalam.

Tuesday, August 27, 2013

Tauhid: Pelajaran ke empat

Pengertian sifat

Adalah pengertian sifat itu ialah suatu perkara yang berdiri kepada zat dan tiada boleh berdiri sendiri. Misalnya seperti sifat Kudrat (kuasa). Jika tidak ada zat tempat ia berdiri nescaya tidaklah dapat ditentukan kuasa itu. Umpama Allah berkuasa, berertilah sifat kuasa itu berdiri pada zat Allah Taala baharulah boleh dikatakan Allah berkuasa. Sekiranya diceraikan sifat kuasa itu daripada Allah dikatakan kuasa sahaja nescaya tidaklah dapat ditentukan berkuasa itu kepada siapa. Demikianlah bandingannya pada sifat-sifat yang lain.

Adalah sifat-sifat yang wajib bagi Allah Taala itu banyak, yang wajib diketahui satu persatu 20 sifat jua:-

1. Wujud ertinya Ada Allah Taala
Adalah pengertian Wujud itu menurut bagaimana takrif Imam As Sha'rie ialah diri zat. Maka atas qul ini bukanlah Wujud itu sifat dan menurut bagaimana pengertian ulama yang lain daripada Imam As Sha'rie Wujud itu ialah satu sifat antara Ada dan Tiada (hal) yang wajib zat tiada dikeranakan dengan sesuatu kerana.

2. Qidam ertinya Sedia Allah Taala
Adalah Sedia itu ertinya ada Allah Taala itu tiada berpermulaan iaitu ada Allah Taala itu tiada didahului oleh tiada.

3. Baqa' ertinya Kekal Allah Taala
Adalah Kekal itu ertinya ada Allah Taala itu tiada berkesudahan, tiada binasa dan tiada berubah-ubah.

Sunday, July 21, 2013

Tauhid:Pelajaran yang ketiga (samb.II)

Mengenal Allah

Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengenal Allah dengan mengetahui sifat-sifatNya yang wajib, mustahil dan harus padaNya. Adalah sifat-sifat yang wajib diketahui itu terbahagi dua:

1. dengan jalan Ijmali iaitu bahawa ber i'tikad seseorang dengan i'tikad yang putus dan tetap bahawasanya wajib bagi Allah itu bersifat dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhananNya dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.

2. dengan jalan tafsili iaitu bahawa ber i'tikad seseorang dengan i'tikad yang putus dan tetap bahawasanya wajib bagi Allah bersifat dengan 20 sifat serta mendirikan tiap-tiap sifat itu dalil 'aqli dan naqli, dan bahawa ber i'tikad seseorang yang putus dan tetap bahawasanya mustahil atas Allah Taala itu bersifat dengan segala lawan sifat-sifat yang 20.

Maka mengetahui kedua-dua jalan ini dihukumkan fardu 'ain atas tiap-tiap mukallaf laki-laki dan perempuan.


Saturday, July 20, 2013

4 Ramadhan 2013 kekal dalam ingatan

Al fatihah untuk Bonda tercinta...
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh bonda dan di tempatkan bersama roh-roh para syuhada dan para solihin. Amin. Al fatihah.

Tuesday, July 9, 2013

Madrasah Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan kepada semua pengunjung blog ini. Semoga Ramadhan yang sedang kita lalui ini memberi satu kekuatan untuk kita lebih berusaha menghampirkan diri kepada Allah SWT. Peluang berada dalam bulan ini jangan kita sia-siakan. Setiap detik mempunyai ganjaran yang tidak ternilai harganya. Jom kita tarbiah hati, fikiran dan jasmani kita agar sentiasa tunduk dan tawaduk kepada Pencipta kita. Kita perbanyakkan amalan soleh dan semoga latih tubi ini mejadi kebiasaan dalam bulan-bulan yang lain, insyaAllah. Selamat berpuasa....:)

Saturday, June 22, 2013

Madu (sambungan)

Nabi Muhammad SAW sendiri mengajar para sahabat agar mengamalkan madu dalam kehidupan seharian mereka. Sehingga ada disebutkan dalam kisah para sahabat (saya tak ingat secara detail), ada seorang sahabat mengadu kepada Rasullullah bahawa ayahnya sakit perut. Nabi Muhammad SAW menyarankan agar ayahnya minum madu. Beberapa ketika sahabat itu datang kembali dan berkata bahawa ayahnya masih sakit perut. Nabi Muhammad SAW menyarankan agar ayahnya minum madu lagi. Sahabat itu balik dan kembali semula dan berkata sakit perut ayahnya masih tidak sembuh. Nabi Muhammad SAW berkata 'Maha Benarlah perkataan Allah yang Maha Agung bahkan perut itulah yang menipu.' Sebenarnya, sakit ayah kepada sahabat tersebut sudah sembuh tetapi perutnya yang menipu memberi signal masih sakit. Sahabat tadi balik dan sampaikan kepada ayahnya apa yang dikatakan oleh Rasullullah SAW dan benar, sakit perut itu telah hilang.

Maknanya di sini, iman perlu dibetulkan dahulu. Firman Allah dalam Al Quran bahawa madu adalah penawar bagi segala penyakit hendaklah kita yakin 100%. Pendek kata, apa-apa yang tertulis dalam al Quran hendaklah kita percaya sebulatnya. Allah yang kata, pasti benar!.Dan kita kena yakin, bukan madu yang menyembuhkan tetapi Allah. Mohonlah pertolongan daripada Allah. Bila kita sakit, cuba kita latih diri agar first thing yang kita fikir adalah Allah, bukan doktor. Kita dirikan solat sunat 2 rakaat, mohon sihat, then, kita makan/sapu madu. Demam, pening, batuk, migrain, selesema, gatal-gatal, lenguh-lenguh badan, sakit perut.....cuba guna madu sebagai penawar. Sakit-sakit ini adalah sakit yang biasa kita hidapi dan tidak sepatutnya apabila kita sakit sebegini, kita makan ubat tahan sakit (panadol, ubat batuk, etc.....) selalu yang kita telah sedia maklum diperbuat daripada campuran pelbagai jenis bahan kimia dan dadah yang kita tak tahu sumbernya. Bahan-bahan ini memberi kesan jangka panjang yang tidak baik kepada tubuh kita dan boleh jadi racun pada badan kita. Maha Pencipta kita Maha Mengetahui tentang tubuh kita. Beralihlah kepada madu. Bukan saya menolak terus ubatan moden tetapi ada baiknya jika kita mulai rawatan dengan menggunakan madu dahulu.

Saya dan keluarga mula mengamalkan madu sejak 3-4 tahun lalu. Sebelum ini,memang kerap sakit kepala, migrain, demam dan selesema yag kebanyakannya disebabkan stress, penat, cara pemakanan dan keadaan persekitaran. Panadol sentiasa ada dalam simpanan sehingga suatu hari kami terfikir mengapa harus bergantung kepada ubat tahan sakit sedangkan kita tahu ia tidak menyembuhkan. Kami mula makan madu sesudu apabila rasa tidak sihat, setiap hari. memang mengambil masa sedikit untuk sembuh tetapi selamat daripada sebarang dadah dan bahan kimia. Dengan kuasa Allah, Alhamdulillah, sakit kepala, demam,  migrain, selsema dan batuk kami sembuh dan kini kami jarang kena sakit-sakit tersebut. Madu sekarang adalah barang yang wajib ada di rumah. Setiap hari kami akan makan samada satu sudu begitu saja atau campur dengan air suam. Inilah supplement terbaik. Saya percaya tahap imunisasi kami telah meningkat. Apabila kita beramal dengan apa yang disampaikan dalam al Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri, di situ ada kejayaan. Hatta bila bahu terasa lenguh, berat, kami akan sapu madu di situ dan biarkan semalaman. InsyaAllah, esok nya bahu terasa ringan dan lenguh-lenguh hilang. Berlekit? Tidak. Madu tersebut telah meresap ke dalam kulit. Cuba la. Selain sakit kita sembuh, badan sihat.......iman kita juga meningkat kerana percaya kepada Allah dan RasulNya. Ganjaran pahala pasti ada. siapa yang untung?

Saya bukan ustazah atau ilmuan dalam bidang agama tetapi saya cuba untuk mengamalkan al Quran dan Sunnah sebanyak dan sebaik mungkin dalam kehidupan saya. Saya hanya orang biasa dan pengetahuan saya dalam ilmu agama sangat sedikit tetapi dengan ilmu yang sedikit itulah saya cuba amalkan dan saya ingin kongsikan bersama saudara saudari. Moga kita dapat manfaat bersama.

Wednesday, June 12, 2013

Usaha atas Iman

Alhamdulillah, insyaAllah pada 15-16 Jun 2013, dua hari lagi jemaah masturat daripada Pakistan akan datang ke rumah. Inilah hadiah hari lahir yang terbaik yang saya terima. Semoga semuanya berjalan lancar. Semoga ini menjadi titik permulaan untuk saya menjadi lebih serius dalam kerja-kerja membantu agama Allah.Hati rasa sangat gembira kerana doa dan impian untuk terima jemaah di rumah sejak 2 tahun lepas akhirnya termakbul. Semoga kami sekeluarga sentiasa dipilih oleh Allah dalam usaha-usaha atas iman sebegini.

Di zaman Rasullullah SAW, orang -orang Ansar Madinah menyambut kedatangan orang-orang Muhajirin Makkah dengan layanan yang amat baik sehingga terbina negara dan tamadun Islam yang unggul di Madinah. Usaha untuk meningkatkan iman, doa, pengharapan dan tawakal kepada Allah menarik rahmat Allah turun di Madinah sehinggakan cahaya Islam memancar dan merebak ke seluruh dunia. Inilah contoh terbaik untuk kita ikuti agar tugas kita sebagai khalifah dapat kita jalankan sebaik mungkin. Sebagai umat Rasullullah SAW, inilah kerja kita - menyebar dan membantu agama Allah. Dimana sebenarnya, kita membantu diri kita sendiri - melindungi diri kita daripada bakaran api Neraka. Itulah kejayaan yang sebenar. Bagi sesiapa yang belum bermula, jom kita ambil kerja ini sebagai maksud hidup kita. Jadilah pendakwah Islam, sekurang-kurangnya kepada diri kita sediri. Dakwahlah hati kita agar tunduk kepada perintah Allah dan insyaAllah, selepas itu pandangan, keputusan dan tindakan kita juga akan ikut tunduk selaras dengan kehendak Allah. Masukkan software terbaik dalam diri kita, AlQuran. Bacalah dan fahamilah Al Quran setiap hari. Semoga Al Quran menjadi bacaan rutin kita. InsyaAllah.

Wednesday, May 22, 2013

Madu

Hari ini nak bercerita sikit mengenai madu. Rasanya tak payah la saya bercerita mengenai khasiatnya kerana anda mungkin lebih mengetahui tentangnya berbanding saya. Cuma saya ingin mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat semua bahawa madu ini adalah merupakan satu nikmat Allah kepada kita yang ada disebutkan dalam Al Quran. Apabila kita beramal dengan apa yang disarankan dalam Al Quran, ganjaran pahala pasti ada. Penciptaan madu sangat unik kerana ia terhasil bukan dengan tangan manusia tetapi lebah! Makhluk sekecil itu berkhidmat untuk kita menyediakan satu rezeki yang sangat banyak manfaatnya. SubhanaAllah...Allah Maha Kuasa. Madu inilah supplement yag sebenar. Mampu mencegah pelbagai penyakit dan meningkatkan kesihatan badan kita. Dianugerahkan oleh Pencipta kita yang Maha Mengetahui keperluan tubuh badan kita. Bertuahnya kita sebagai muslim kerana kita telah dimaklumkan (melalui Al Quran) dan dibekalkan dengan penawar penyakit yang tiada bandingannya. Bagaimana ia terhasil, sudah pasti ia bebas daripada sebarang bahan kimia dan dadah. Inilah sebabnya mengapa ada pihak berkepentingan dengan sedaya upaya mereka cuba menukar persepsi masyarakat terutamanya orang Islam, secara sedar atau tidak sedar, agar bergantung kepada ubatan mereka apabila sakit. Mereka tahu sekiranya orang Islam beramal dengan Al Quran dengan sebenarnya termasuk makan madu apabila sakit, mereka akan rugi. Sedaya upaya mereka ingin lihat umat Islam jauh daripada Al Quran dan seterusya merasa ragu-ragu dengan apa yang disampaikan oleh Al Quran. Ini adalah agenda tersembunyi mereka untuk mengganggu gugat keimanan orang Islam disebabkan hasad dengki dan tamak mereka kepada dunia. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada madu termasuk mengatakan ia mengandungi sejenis bakteria berbahaya kepada bayi kerana tidak mahu melihat bayi-bayi sihat dengan memakan supplement terbaik. Sukar untuk mempercayai ada bakteria dalam madu kerana ia dihasilkan daripada bunga-bunga terpilih, dan yang memilihnya adalah makhluk yang sangat teliti. Sebaliknya, dalam vaksin-vaksin bayi lah yang terdapat bakteria-bakteria dan bahan kimia berbahaya secara terang-terangan dimana kehalalan sumber bahannya pula memang diragui. Bagi saya, kelahiran seorang bayi sudah cukup sempurna dimana tahap imunisasinya telah berada pada paras yang terbaik.

Friday, May 17, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ketiga (samb.)

Taqlid

Adalah erti taqlid itu menerima perkataan orang lain dengan tiada mengetahuikan dalil dan keterangan.
Terbahagi taqlid itu kepada 2 bahagian:-
1. Taqlid yang putus iaitu kepercayaan yang terlekat betul dimata hati dengan teguh dan kuat serta tiada akan  berubah-ubah atau berbalik semula jika mereka yang diikutnya itu berubah atau berbalik sekalipun tetapi kekuatan kepercayaannya itu tiada boleh mengadakan dalil.
2. Taqlid yang tiada putus iaitu mengikut perkataan atau kepercayaan orang lain dengan tiada teguh. Kiranya mereka yang diikutnya itu berubah atau berbalik kepercayaannya dan i'tiqadnya maka iapun berbalik jua.

Iman mereka yang bertaqlid
Adalah iman mereka yang bertaqlid itu tiada diukumkan kafir jika taqlidnya putus. Hanya diamakan mukmin yag derhaka kiraya ia belajar boleh dapat megadakan dalil atas kepercayaannya itu. Adapun mereka yang bertaqlid tiada putus itu serupalah imannya seperti mereka yang syak, zhon dan waham. Maka tiada sah imannya.
Walhasil adalah iman orang yang bertaqlid itu sentiasa di dalam bahaya dan kebimbangan kerana tergantung kebenarannya itu atas mereka yag diikutnya. Jika benar dan hak perjalanan mereka yang diikutnya itu seperti gurunya maka yang mengikut itupun benar dan hak jua tetapi jika sebaliknya maka binasalah ia bersama-sama dengan orang yang diikutnya itu.

Wednesday, May 1, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ketiga

Mengenal Allah
Adalah mengenal Allah itu terhimpun di dalamnya 3 perkara:
1. I'tikad yang putus
2. Muafaqat dengan yang sebenarnya
3. Dengan dalil

I'tikad yang putus:
Adalah i'tikad yang putus itu ialah kepercayaan yang tiada berdolak-dalik dan tiada di dalamnya syak, zhon dan waham. Maka tiada dinamakan mengenal kiranya kepercayaan itu berdolak-dalik, berbelah-belah fikiran, was-was atau sangka-sangka.

Muafaqat dengan yang sebenar:
Adalah muafaqat dengan yang sebenar itu iaitu kepercayaan yang putus yang bersetuju dengan apa yang sebenar sebagaimana kepercayaan rasul dan sahabat-sahabatnya (ahli as sunnah wal jamaah), maka yang tiada muafaqat dengan yang sebenar itu seumpama kepercayaan orang nasrani mengatakan ada 3 tuhan dan kepercayaan orang majusi mengatakan ada 2 tuhan, maka kedua-dua kepercayaan ini tiada dinamakan mengenal.

Disertakan dalil:
Adalah kepercayaan yang putus lagi muafaqat dengan yang sebenar sebagaimana yang diterangkan di atas itu hendaklah disertakan dengan dalil yang menunjukkan dan menguatkan kepercayaannya. Kiranya kepercayaan itu tiada disertakan dengan dalil maka tiada dinamakan mengenal, hanya dinamakan taqlid (mengikut perkataan atau i'tikad orang lain dengan tiada mengetahui dalil).

Tuesday, April 16, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb.3)

Bumi dan Alam
Berkata ahli ilmu biologi: adalah bumi ini asalnya daripada jisim yang terbangsa kepada api atau jenis api dan ia tiada sejuk melainkan setelah beberapa ribu tahun (yang tiada diketahui) setelah itu baharulah ia keras sebelah luar umpama lengkung bersakar kemudian lepas itu beribu-ribu tahun (tiada diketahui juga) baharulah ia sesuai boleh dibuat tempat bercucuk tanam, lepas itu baharulah sesuai pula bagi tempat kehidupan binatang kemudian manusia.

Manusia
Berkata lagi ulama biologi itu, bahawasanya manusia itu mula-mulanya berkeadaan liar. Setelah melalui masa beribu-ribu tahun baharulah mengerti membuat kerja-kerja yang mustahak baginya seperti membuat rumah, pakaian dan makanan kemudian beransur-ansurlah ia sedikit demi sedikit berjinak-jinak dan moden hingga sampai keadaannya bagaimana yang ada pada hari ini.

Bahagian tarikh manusia
Tarikh manusia itu 2 bahagi; tarikh am dan tarikh khas. Maka tarikh am iaitulah tarikh yang menceritakan hal ehwal mausia semua sekali dan tarikh khas iaitu yang membahaskan hal sesuatu bangsa atau sesuatu kaum atau sesuatu kerajaan sahaja.
Adapun masa tarikh itu dibahagi 3 kurun. Yang pertama mulanya daripada masa yang tiada diketahui hingga binasa Kerajaan Rom Barat dan kurun menengah mulanya dari semenjak jatuh Kerajaan Rom Barat hingga runtuh Kerajaan Rom Timur (dari mula bangkit Kerajaan Bani Uthman di Constantinople, Turki) dan kurun yang akhir mulanya dari semenjak terdiri Kerajaan Constantinople itu hingga zaman kita sekarang. Kalimah 'kurun' itu jamak mufradnya 'kharnun'. Makna kharnun ialah masa seratus tahun.
Sebagai penutup pelajaran yang pertama ini adalah tarikh manusia itu tiada dapat diketahui dengan yakin melainkan sebahagian yang kecil jua dan yang dapat diagak dengan bertulis ialah ehwal mausia dalam tempoh 3 ribu tahun sahaja lebih kurang. Adapun yang dahulu daripada itu, waAllahu'alam.

Friday, April 12, 2013

Bersugi (2)

Bagi sesiapa yang belum pernah lihat kayu sugi, di bawah ini adalah contoh kayu sugi dan cara menggunakannya.

Sabda Rasullullah SAW "Solat 2 rakaat dengan bersugi itu lebih  baik daripada solat 70 rakaat tanpa bersugi" Riwayat Saidatina Aishah r.a

Wednesday, April 10, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb. 2)

Ilmu yang membantu Tarikh
Adalah ilmu yang membantu ahli Tarikh pada mendapatkan hakikat Tarikh itu banyak dan yang penting sekali ialah ilmu geografi, ilmu takwim dan ilmu mengenal hal-ehwal bumi (biologi).

Permulaan Tarikh
Dari bila Tarikh itu dimulakan? Jawab soalan ini tiada dapat ditetapkan dengan tepat tetapi biasanya manusia hingga orang-orang kebanyakkan pun selalu mengambil berat dengan kejadian-kejadian yag besar iaitu seolah-olah sudah jadi tabi'at kepada mereka itu menyandarkan sesuatu hal kepada kejadian -kejadian yag besar itu seperti dikatakan " Perkara itu berlaku lepas taufan Nuh, lepas beranak Nabi Isa a.s atau lepas berpindah (hijrah) Nabi Muhammad SAW sekian-sekian tahun, masa perang besar dunia yang pertama, masa Jepun dan sebagainya". Maka kejadian yang besar-besar dipakai jadi permulaan Tarikh itu terlampau banyak tetapi yang biasa digunakan orang 3 kajadian sahaja Permulaan Manusia Jadi, Peranakkan Al Masihi   dan Hijrah Muhammadiah.

Permulaan Manusia Jadi
Bersalah-salahan pendapat ahli Tarikh atas soal permulaan manusia jadi. Setengah orag berpendapat manusia itu sudah ada di atas muka bumi ini selama empat ribu tahun sebelum miladi atau sebelum hijrah. Setengah orang lain berkata enam ribu tahun dan ada pula berkata sudah bermillion-million tahun. Maka jalan menuju kepada yang tepat tiada dapat kerana bahan-bahan untuk mengetahuinya sangat sedikit padahal menyelidik barang lama masih tiada putus tetapi pendapat yang boleh dikatakan sekata di sisi ahli-ahli Tarikh setua-tua umat di atas muka bumi ini ialah orang cina, orang india dan orang mesir dan menurut Tarikh, orang eropah adalah bangsa-bangsa yang tiga ini telah ada di atas muka bumi ini dari semenjak enam atau sepuluh ribu tahun lebih kurang.

Monday, April 8, 2013

Bersugi

Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang satu ini...iaitu bersugi. Beberapa tahun dulu, saya diperkenalkan dengan kayu sugi dan cara menggunakannya tapi waktu itu hati masih berat untuk bersugi. Memang saya akui, bilamana kita ingin mengamalkan satu-satu sunnah itu, pasti ada yang mengganggu. Syaitan sentiasa memberatkan hati kita agar tidak mengamalkannya sebab mengamalkan sunnah ini ada kaitan dengan iman kita. Salah satu Rukun Iman ialah beriman kepada Rasullullah, jadi sudah pasti ganjaran melaksanakan apa-apa yang Nabi Muhammad SAW buat itu sangat besar dan yang paling penting, iman kita semakin meningkat, hatta bersugi. Itu yang syaitan tidak suka. Jadi, perlindungan daripada Allah Taala sangat-sangat kita perlukan. Setiap satu sunnah Nabi Muhammad SAW itu ada kejayaan. Sebagai manusia biasa, terlalu banyak yang kita tidak tahu yang Nabi Muhammad SAW tahu. Nabi Muhammad SAW adalah insan terpilih, jadi kita mesti benar-benar yakin bahawa segala perbuatan, perkataan dan cara hidup baginda adalah yang terbaik untuk kita contohi, untuk kita ikut.
Saya tahu bahawa bersugi itu banyak kelebihannya sehinggalah beberapa minggu lepas, saya menyedari yang penglihatan saya semakin merosot. Saya memang rabun jauh sejak zaman belajar dulu tapi saya rasa ia semakin teruk apabila benda jauh yang saya lihat berbalam-balam, macam berpinar-pinar. Sakit kepala dan mata apabila saya cuba untuk fokuskan penglihatan. Tiba-tiba saya teringat salah satu kelebihan bersugi ialah menajamkan penglihatan. Hati saya berdetik, sudah tiba masanya untuk saya amalkan sunnah ini. Alhamdulillah, setelah dua tiga hari saya bersugi setiap kali hendak bersolat zuhur, asar dan isya', penglihatan saya semakin baik. Apabila lihat sesuatu yang jauh, tidak lagi berbalam-balam. Syukur sangat ke hadrat Ilahi kerana memberi jalan penyelesaian yang terbaik hatta berkaitan dengan mata. Betapa besarnya nikmat mata. Semoga Allah kurniakan saya sifat istiqamah amalkan sunnah ini. Setiap kali membaca Al Quran, saya tidak putus-putus memuji Allah kerana masih memberi nikmat penglihatan kepada saya dan memberi peluang kepada saya untuk melihat dan membaca ayat-ayat suciNya. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana sekiranya Dia menarik nikmat mata ini. Namun, saya sedar, semua pancaindera kita ini hanya pinjaman dariNya. Dia ada hak untuk mengambil semula bila-bila masa. Sementara Dia masih memberi masa kepada kita menggunakannya, marilah kita sama-sama menggunakan segala nikmat yang Allah pinjamkan ini mengikut apa yang Dia perintahkan. Jauhilah perkara-perkara yang Dia larang kerana Dia yang mencipta kita, sudah semestinya Dia Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita, apa yang tidak baik untuk kita. Kerana Dia menyayangi kita melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Saturday, March 23, 2013

Sifat-sifat Para Sahabat Rasullullah r.a

Assalammualaikum wbt dan  selamat sejahtera kepada para pengunjung. Hari ini, kita keluar tajuk sikit la ye. Saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda semua untuk melihat sifat-sifat yang ada pada diri sahabat-sahabat Rasullullah sehingga mereka ini terpilih untuk berada di sisi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW di dalam meyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia, sehingga Islam kekal hingga ke hari ini. Mereka ini bukanlah sembarangan orang dan malah ada di antara mereka, Allah SWT telah janjikan syurga kepada mereka sejak di dunia lagi. Subhanallah, alangkah bertuahnya mereka dan alangkah berjayanya mereka menghadapi dugaan dunia yang sementara ini. Merekalah orang-orang yang berjaya. Tidak mahukah kita jadi seperti mereka, berjaya dalam erti kata yang sebenar? Apa yang kita cari dan apakah matlamat hidup kita? Kita cari ketenangan hati dan akhirat adalah matlamat kita. Untuk medapatkannya, kita perlu kembali kepada Pencipta kita, Allah SWT. Kita perlukan cinta dan redha Allah. Rasullullah SAW telah menunjukkan jalan dan cara untuk dapatkan cinta dan redha Allah. Tidak ada jalan dan cara lain. Apakah lagi alasan yang kita ada untuk tidak mengikut sunnah baginda? Para sahabat mengikut sunnah-sunnah baginda dengan rapat sekali, daripada buka mata, bangun tidur sehingga tutup mata, tidur semula. Semua perlakuan baginda ditiru sebaik mungkin. Kerana mereka yakin sepenuh hati bahawa dengan cara itu sahaja yang akan membawa mereka berjaya di dunia dan di akhirat. Dan mereka yakin 100% dengan segala janji-janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang ingkar. Oleh yang demikian, mari lah kita sama-sama muhasabah diri dan buat perubahan dalam kehidupan kita seharian dengan mengikut sunnah-sunnah Rasullullah sepertimana yang dibuat oleh para sahabat baginda, walaupun sedikit dan kita istiqamah melaksanakannya, percayalah, kesan yang akan kita rasai sangat besar dan hikmahnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sifat-sifat para sahabat boleh diringkaskan kepada 6 yang mana ia bukanlah menunjukkan kesempurnaan dalam agama tetapi apabila kita amalkan, ia dapat memudahkan kita untuk mendapatkan kesempurnaan dalam agama.
1. Yakin dengan hakikat kalimah La ila ha illallah, Muhammadur rasullullah
2. Hakikat solat khusyu' dan khudhu'
3. Hakikat ilmu dan zikir
4. Ikram muslimin
5. Ikhlas niat
6. Dakwah fisabilillah

*sudahi dengan tasbih kifarah dan Surah al 'Asr*

Friday, March 22, 2013

Tarikh: Pelajaran yang pertama (samb.)

Punca Ilmu Tarikh
Adalah tarikh itu diambil daripada kesan barang-barang dan hal-hal yang berlaku.  Iaitu terbahagi kepada 3 bahagian: pertama kesan yang tetap, kedua kesan yang dinukil, ketiga kesan barang lama.

Maka yang dikatakan kesan yag tetap itu ialah perkara yang tetap terpelihara daripada berubah-ubah umpama surat-surat,buku-buku daftar, buku-buku agama, takwim-takwim, perintah-perintah, undang-undang, pekeliling-pekeliling, perjanjian-perjanjian dan seumpamanya.

Yang dikatakan kesan yang dinukil itu ialah perkara yang didengar dan dipindahkan dari ibu-ibu bapa kepada anak-anak seperti cerita-cerita, pantun-pantun dan seumpamanya. Bahagian ini meskipun terkadang-kadang ada yang melampau-lampau dan ada tokok tambah pada setengah-setengah ketika tetapi yang demikian itu tidak sunyi juga ada mengandugi faedah dan berguna pada orang yag suka menyelidik hal-hal dan menghalusi sesuatu perkara.

Adapun bahagian yang ketiga itu iaitulah kesan barang-barang lama, bekas-bekas negeri (bandar), kota-kota, tembok-tembok, patung-patung berhala, batu-batu nisan,batu-batu berukir, senjata-senjata, pakaian-pakaian, alat perhiasan rumah dan seumpamanya.

Subjek: Tarikh darjah 4

Hari ini saya ingin mula membaca kitab tarikh. Kitab-kitab Sekolah Agama Johor ini 100% bertulisan jawi, jadi disebabkan telah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan telah lama tidak membaca tulisan jawi, mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan saya dalam membacanya. Terdapat beberapa perkataan yang saya kurang pasti untuk menyebutnya. Saya terbuka untuk menerima sebarang teguran yang membina daripada para pembaca untuk sama-sama kita mengambil manfaat darinya, insyaAllah. Selamat membaca.




Pelajaran yang pertama:
Tarikh dan Kaitannya

Pengenalan Tarikh
Perkataan ' Tarikh' itu bahasa arab maknanya di dalam peribahasa menentukan waktu atau menetapkan masa atau menyatakan masa kesudahan sesuatu umpama 'surat saya ada tarikh'. Ertinya surat saya ada ditulis haribulan dan tahunnya. Adapun maksud tarikh disisi istilah iaitu ilmu yang dengan dia diketahui segala hal ehwal ummah dan bangsa-bangsa yang dahulukala dan sekarang.
Ilmu ini sangat berguna pada segenap lapisan masyarakat. Kerana dengan mengetahui hal-hal orang yang dahulu dan segala kejadian yang berlaku, manusia dapat mengambil iktibar pada yang baik jadi tauladan dan pada yang buruk jadi sempadan. Bahkan dengan tarikh lah menjadikan seseorang atau sesuatu bangsa itu bersemangat pada meninggikan agama, bangsa dan tanahairnya.

Thursday, March 14, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2 (samb)

Pengertian wajib pada 'akal
Adalah wajib pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan tiadanya (suatu perkara yang tetap dan mesti ada) misalnya seperti gerak atau diam bagi suatu benda itu tetap ada salah satu daripadanya.

Pengertian mustahil  pada 'akal
Adalah mustahil pada 'akal itu suatu perkara yang tiada diterima 'akal akan adanya (suatu perkara yang tetap dan mesti tiada) misalnya seperti gerak dan diam bagi sesuatu benda di dalam satu masa.

Pengertian harus pada 'akal
Adalah harus pada 'akal itu suatu perkara yang boleh diterima 'akal ada atau tiadanya. Misalnya seperti boleh bergerak atau diam bagi suatu benda.

Pengertian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu ialah titah perintah tuhan berkenaan perkara-perkara yang diperbuat oleh orang yang mukallaf samada dengan jalan tuntutan atau hantaran.
1. Tuntutan misalnya seperti firman Allah 'hendaklah kamu megerjakan sembahyang' dan 'jangan kamu menghampiri zina'.
2. hantaran misalnya seperti masuk waktu bagi ibadat yang berwaktu, suci daripada najis dan hadas dan lain-lainnya.

Bahagian Hukum Shara'
Adalah hukum shara' itu terbahagi 2:

Bahagian yang pertama termasuk di bawah 'tuntutan' iaitu 5 perkara:
1. wajib iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya dan diseksa meninggalkannya.
2. sunat iaitu perkara-perkara yang diberi pahala memperbuatnya tetapi tiada diseksa meninggalkannya.
3. haram iaitu perkara-perkara yang diseksa memperbuatnya dan diberi pahala meninggalkannya.
4. makruh iaitu perkara-perkara yang diberi pahala meninggalkannya tetapi tiada diseksa memperbuatnya.
5. mubah (harus) iaitu perkara-perkara yang tiada diberi pahala dan tiada diseksa memperbuatnya atau meninggalkannya.

Bahagian yang kedua termasuk dibawah 'hantaran' iaitu 5 perkara:
1. sebab
2. syarat
3. mani'
4. sah
5. batal

Pengertian Hukum Adat
Yang dikatakan hukum adat itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya, dengan dicuba beberapa kali tetapi boleh menyalahi daripada ketetapannya.
Misalnya seperti api itu telah dicuba beberapa kali didapati boleh menghanguskan sesuatu, maka kuatkuasa api boleh meghanguskan itu ditetapkan oleh hukum adat tetapi ada kalanya api itu tiada boleh meghanguskan sebagaimana yang diketahui adalah Nabi Ibrahim a.s itu tiada hangus tatkala dibakar oleh Namrud.

Bahagian Hukum Adat
Adalah bahagian hukum adat itu 4:
1. menetapkan ada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada kenyang dengan sebab ada makan.
2. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada kenyang dengan sebab tiada makan.
3. menetapkan ada sesuatu dengan sebab tiada sesuatu yang lain seperti menetapkan ada sejuk dengan tiada kain.
4. menetapkan tiada sesuatu dengan sebab ada sesuatu yang lain seperti menetapkan tiada sejuk dengan sebab ada kain.

Peringatan:-
Adalah wajib shar'i dan wajib 'aqli itu berlainan pengertian keduanya. Maka tanda yang menunjukkan wajib shar'i itu ialah didatangkan dengan perkataan "atas" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib atas tiap-tiap mukallaf' maksudnya ialah wajib shar'i. Dan tanda menunjukkan wajib 'aqli itu ialah dengan perkataan "bagi" atau "pada" kemudian daripada perkataan wajib seperti dikata 'wajib bagi Allah' atau 'wajib pada Zat Allah', maksudnya ialah wajib 'aqli.

Kita berhenti dulu untuk subjek tauhid. Next post, kita baca Kitab Tarikh pula. Kitab Tarikh ini cerita mengenai sejarah Islam. Seronok juga baca kitab-kitab lama. Dan bahasa-bahasa lama.

Monday, March 11, 2013

Tauhid: Pelajaran yang ke 2

Menyatakan Hukum
Adalah pengertian hukum itu menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menidakkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain. Misal pada menetapkan itu seperti dikatakan " Bahawasanya alam ini baharu" maka baharu itu ditetapkan kepada alam, dari sebab itu tetaplah alam ini baharu. Dan misal menidakkan itu seperti katanya "Alam ini bukan Qadim". Maka qadim itu ditidakkan kepada alam. Dari sebab itu tetaplah alam ini tidak qadim.

Mengetahui Hukum 'Akal
Bahawasanya tiap-tiap seorang yang hendak mengenal Allah dan rasulNya itu wajiblah ia mengetahui lebih dahulu hukum 'akal dan segala bahagiannya kerana ia permulaan wajib mengetahui untuk jalan mengenal Allah, oleh sebab tidak dapat seseorang hendak menghukumkan sesuatu hukum melainkan setelah diketahui lebih dahulu akan pengetian hukum 'akal dan segala bahagiannya. Misalnya seperti dihukumkan wajib bagi Tuhan bersifat Qidam maka tak dapat tidak orang yang menghukumkan wajib itu telah mengerti dan faham makna wajib itu sebelum dihukumkannya kemudian barulah boleh ia menghukumkan dengan wajib Tuhan bersifat Qidam.
Yang demikian jadilah permulaan wajib untuk jalan mengenal tuhan itu ialah mengetahui Hukum 'Akal.

Bahagian Hukum
Adalah hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian:
1. Hukum 'Akal
2. Hukum Shara'
3. Hukum 'Adat
Sebab pun hukum itu terbahagi kepada 3 bahagian ialah kerana menetapkan tiap-tiap perkara atau menidakkannya itu adakalanya 'akal, adakalanya shara' dan adakalanya 'adat.

Pengertian Hukum 'Akal
Adalah hukum 'akal itu ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan daripadanya dengan tiada berkehendak kepada percubaan sebagaimana hukum 'adat dan tiada bergantung kepada suatu perbuatan mukallaf sebagaimana hukum shara'.

Adalah hukum 'akal itu 3 bahagian:
1. Wajib
2. Mustahil
3. Harus















Friday, March 8, 2013

Subjek: Tauhid darjah 4

Sebagai permulaan, saya mula dengan membaca Kitab Tauhid darjah 4. Dihadapan kitab ini tertulis juga 'bagi murid-murid sekolah Agama Kerajaan Johor' oleh Jabatan Agama Johor. Baru saya perasan, dalam simpanan saya, hanya ada kitab-kitab sekolah agama darjah 4, 5 dan 6. Kitab-kitab darjah 1, 2 dan 3 tak tahu di mana. Seingat saya, subjek untuk setiap darjah adalah sama cuma bila naik darjah 5, ada penambahan subjek Tasawuf dan bila naik darjah 6, ditambah subjek Muamalat, Munakahat dan Jenayat. Subjek yang sama untuk setiap darjah adalah Tauhid, Ibadat, Tafsir Ayat Al Quran, Tarikh, Adab dan Bahasa Arab kalau tak silap saya. Semuanya bertulisan jawi. Selamat membaca.

Pelajaran yang pertama:
Perkara-perkara yang wajib diketahui oleh Mukallaf

Bahawasanya tiap-tiap seorang mukallaf wajib ia mengetahui asas-asas agama sebagaimana di bawah ini:-
1. Rukun Islam
2. Rukun Iman
3. 'Aqaidul Iman

Oleh sebab kitab ini menepati perkara Tauhid jua dari itu, rukun Islam dan Iman tiada dibahaskan.

Pengertian 'Aqaidul Iman
Adalah 'Aqaidul Iman itu ialah simpulan-simpulan atau ikatan-ikatan iman (kepercayaan seseorang terhadap/kepada Allah dan Rasulnya).

Perkara-perkara yang terkandung dalam 'Aqaidul Iman
Adalah perkara-perkara yang terkandung dalam 'Aqaidul Iman itu:-
1. Sifat-sifat yang wajib bagi Allah, yang mustahil atasNya dan yang harus pada zatNya
2.Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul, yang mustahil atasnya dan yang harus pada dirinya
3. Perkara-perkara Sam'iyat (yang didengar dan diketahui daripada Al Quran dan hadis). Misalnya seperti Hari Kiamat, Hisab, Sirat, Syurga, Neraka, 'Arasy, Kursi dan sebagainya.

Wednesday, March 6, 2013

Kitab lama Sekolah Agama Johor

Pagi ini, dengan kesempatan yang ada, dan yang pasti dengan izin Allah SWT, saya ingin berkongsi tentang kitab-kitab lama yang digunakan ketika belajar di Sekolah Agama Johor dulu. Kira-kira 28 tahun dulu. Lama tu. Terasa masa bergerak sangat cepat dan usia semakin bertambah namun baru kini tersedar betapa bernilainya ilmu-ilmu agama yang diajar oleh para guru ketika itu. Masa zaman sekolah dulu, belajar hanya nak lulus periksa, habis periksa dah lupa semula. Bila fikir-fikir,sayangnya. Sekarang ni, untuk dapat peluang duduk dalam majlis ilmu bukan mudah. Bukan tidak ada majlis-majlis seperti itu tapi diri ini yang lemah. Sibuk dengan hal dunia yang tidak berkesudahan. Moga Allah SWT memperluaskan ruang masa untuk saya dan para pembaca blog ini sekalian, untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu yang disebut di dalamnya nama-nama Allah SWT yang Maha Agung dan sabdaan-sabdaan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW. Kerana dalam majlis-majlis ilmu seperti itu, para Malaikat turut hadir dan keberkatan serta rahmat Allah SWT juga turun sama, dengan izinNya.

Berbalik pada kitab-kitab lama Sekolah Agama Johor, yang ada dalam simpanan saya tak banyak dan tak lengkap untuk semua subjek yang diajar. Dan tak cukup untuk semua darjah. Tak tahu di mana hilangnya atau mungkin dah terbuang. Kitab yang adapun, dah kuning dimamah hari. Sikit masa lagi, saya rasa,kitab-kitab ini akan hancur sendiri. Jadi,saya rasa ada baiknya kalau saya kongsikan di sini apa-apa yang saya baca. Sekurang-kurangnya, anak-anak tahu apa yang ibunya belajar ketika zaman sekolah dulu. Perbezaan bahan pembelajaran yang digunakan pada tahun 70-80an dengan sekarang.

Monday, March 4, 2013

Kunjungan anda amat dihargai

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Assalammualaikum wbt buat semua pengunjung blog ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya diberi kekuatan dan kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu yang saya perolehi daripada pelbagai sumber yang mana diharap dengan ilmu itu, kita dapat sama-sama manfaatkan agar menjadikan kita semakin hampir dengan Pencipta kita, Allah SWT. Semoga usaha kecil ini mendapat keredhaanNya, amin.